Polis mengedarkan lakaran wajah seorang suspek kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik di Indera Mahkota 2 di sini kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, lakaran itu diperoleh ketika suspek yang memakai kopiah dan berbaju Melayu berwarna putih bersama dua rakan datang ke rumah Ahmad Raffli dengan sebuah kereta.
"Suspek memberi salam dan menyatakan ingin memberi sepucuk surat sebelum secara tiba-tiba salah seorang rakannya keluar dari pintu belakang kereta lalu melepaskan tiga das tembakan yang mengenai mangsa.
"Suspek merupakan lelaki Melayu berusia 50-an yang bertubuh sasa, mempunyai banyak kesan jeragat di bahagian muka, ketinggian 170 sentimeter, berkulit sawo matang, berbulu kening halus dengan rambut dan misai beruban, berjanggut nipis, bermulut nipis serta saiz hidung kecil.
"Suspek kedua pula berjaket dan berseluar panjang berwarna hitam dan memakai topi manakala suspek ketiga merupakan pemandu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Sharifuddin seterusnya memberitahu, menerusi lakaran wajah yang hampir 70 peratus menyamai suspek pertama itu, polis berharap orang ramai dapat membantu polis mengesan lelaki tersebut bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes berkenaan menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.
"Siasatan mendapati beberapa kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumah mangsa beberapa hari sebelum kejadian termasuk kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih yang digunakan ketika kejadian.
"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan namun polis sedang mengesan lelaki tersebut untuk membantu siasatan," jelasnya.
Dalam kejadian pada pukul 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini.
Mangsa yang berusia 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di dada kanan dan kerongkong.
0 comments:
Post a Comment